UCAPAN BAJET 2014 (sambungan#2)

TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

30. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha Kerajaan menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh, jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus, kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus. 

31. Bagi tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189 bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.

32. Di samping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah sebanyak 106 bilion ringgit. Di antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru. 

33. Dalam bidang minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan projek loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di Pengerang, Johor yang merupakan pelaburan terbesar di Malaysia. 

Tuan Yang di-Pertua,

34. Menjengah sudut lain, Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah 124 bilion ringgit pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor. 
35. Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah 53.4 bilion ringgit. Hampir 50 peratus daripada pelaburan berkomited tersebut telah direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio Pinewood, Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa Pegasus. Selain itu, projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan dilaksanakan.

36. Kerajaan turut menyediakan 1.6 bilion ringgit pada 2014 bagi pembangunan di lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek utama ialah projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman perindustrian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak. 

37. Manakala di Wilayah Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah Utara pula, antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersil dan sistem fertigasi. 

38. Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini telah meningkat kepada 55 peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini, Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014, yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenalpasti subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut. 

Ulasan

Catatan Popular