PEMILIHAN BERSATU PUTRAJAYA: HASNUL HADI TEWAS KEPADA ERWAN TAHIR

Sumber : Berita Harian 23/2/2020

PUTRAJAYA: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Putrajaya, Hasnul Hadi Ahmad tewas kepada lawannya yang juga ahli biasa pada pemilihan Ketua Parti BERSATU bahagian itu, semalam.

Beliau tewas kepada ahli biasa, Datuk Seri Erwan Mohd Tahir, 43, memperoleh 131 undi manakala Hasnul menerima 117 undi.

Pada pertandingan tiga penjuru itu, Erwan yang juga seorang usahawan turut menewaskan seorang lagi pencabarnya, Muhammad Kushairi Ab Ghani yang hanya memperoleh 15 undi.


Pemilihan pertama BERSATU Bahagian Putrajaya menyaksikan seramai 1,684 ahli mewakili tujuh cawangan layak mengundi yang diadakan di Auditorium Pusat Kejiranan Presint 16, semalam.

Menerusi Pemilihan itu menyaksikan seramai 70 calon bertanding merebut pelbagai jawatan parti itu di Putrajaya.

Seramai 540 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), terbabit dalam pemilihan itu, selain 522 ahli Srikandi dan 632 ahli biasa.


Datuk Seri Erwan Mohd Tahir,43, (enam dari Kanan) dilantik Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Putrajaya selepas mengalahkan dua pencabarnya dalam pemilihan dan mesyuarat BERSATU bahagian itu semalam. - Foto Samadi Ahmad

Erwan berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas pemilihan dan kepercayaan diberikan ahli ke atas dirinya bagi menerajui BERSATU di kawasan itu.

Katanya, tanggungjawab diberikan itu akan digalas sepenuhnya termasuk memantapkan kedudukan parti di pusat pentadbiran kerajaan itu.

Beliau berharap semua ahli termasuk sayap ARMADA dan Srikandi bersatu padu mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang, seterusnya memenangi kerusi Parlimen di kawasan itu dari wakil pembangkang.

BERSATU Putrajaya menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di samping bersetuju peralihan kuasa biar ditentukan bila tarikh perdana menteri akan berundur,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular