Tun Dr. Mahathir TIDAK TAHU MENAHU Projek IC...




Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai "Projek IC" sehingga baru-baru ini dan tidak pernah mengeluarkan mana-mana perintah berkaitan pemberian kad pengenalan secara sembarangan kepada pendatang asing di Sabah.
Bekas perdana menteri yang berpakaian sut kelabu lengkap dengan tali leher merah dan kemeja ungu dan berusia 88 tahun itu mengundang tawa mahkamah yang penuh sesak apabila dengan sinis berkata:”Terima kasih banyak kepada pegawai Manoi Kurup yang memberitahunya bahawa Projek IC juga dikenali sebagai Projek M, M maknanya untuk Mahathir.
“Saya tidak pernah tahu mengenai Projek IC sehinggalah baru-baru ini,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dengan pendatang haram di Sabah.
Dr Mahathir mendakwa, beliau tidak kisah apabila namanya digunakan, dan berkata namanya digunakan di banyak tempat dan beliau digelar perkauman dan seorang ultra.
“Saya tidak pernah peduli dan kisah mengenai perkara itu,” katanya dan menambah tidak pernah memberi sebarang arahan kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh atau mana-mana individu merujuk kepada pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini dikawal lebih ketat daripada biasa dengan jumlah pengunjung lebih ramai sejak RCI bermula, apabila tersebar mengenai saksi ke-209 RCI ialah saksi paling terkemuka. Polis memeriksa lebih 140 orang yang memasuki ruang mahkamah dengan alat pengesan logam.
Ramai yang lain, kebanyakannya penyokong Dr Mahathir menunggu dengan sabar di luar mahkamah. Tun Siti Hasmah Ali, isteri Dr Mahathir adalah yang pertama masuk ke dalam mahkamah kira-kira jam 9.24 pagi sebelum perdana menteri paling lama berkhidmat itu memasuki mahkamah, beberapa minit kemudian.
Prosiding bermula dengan Pengerusi RCI, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana datang memberi keterangan dalam kepadatan jadualnya. Manoj kemudian memberita Dr Mahathir bahawa prosiding itu bukan perbicaraan dan maklumkan kepada panel jika beliau penat.
Dalam nada penuh hormat, Manoj bertanya kepada Dr Mahathir sama ada beliau sedar mengenai pertambahan kemasukan pelarian dari Filipina ke Malaysia antara 1972 hingga 1984. Dr Mahathir berkata, beliau sedar kemasukan itu dan berkata ia bukan perkara baru kerana ia berlaku sejak sebelum penyertaan Sabah ke dalam Malaysia.
“Orang ini tidak tahu sempadan, mereka datang dan pergi sesuka hati, kadang-kala dengan pengetahuan kerajaan dan kadang-kala tidak. Orang ini yang tinggal di Sabah sejak sekian lama diiktiraf sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan bahawa mereka yang datang ke Malaysia dari Indonesia dan Filipina tidak boleh diklasifikasikan sebagai pelarian, kerana terma itu digunakan hanya untuk warga Rohingya yang lari dan datang ke Malaysia dari Myanmar.
Manoj kemudian bertanya mengenai parti politik di Sabah dan apa pendapat Dr Mahathir mengenai Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau bertanya bekas perdana menteri itu sama ada wujud polisi untuk menewaskan PBS walau apa cara sekalipun selepas mereka menang pada 1985 dan 1986.
“PBS sebagai pembangkang bukan perkara baru kepada kita. Kita ada parti pembangkang memerintah beberapa negeri di Semenanjung, termasuk Kelantan dan Terengganu, kita perlu kalahkan pembangkang walau apa pun.
“Proses memberikan kad pengenalan kepada pendatang haram sudah pun dijalankan sebelum PBS berkuasa di negeri itu. Berdasarkan kepada perlembagaan, kewarganegaraan boleh diberikan kepada pendatang jika mereka layak dan menepati semua syarat ditetapkan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, tiada keperluan untuknya mengeluarkan arahan supaya pendatang asing diberikan kad pengenalan kerana ia dilakukan mengikut undang-undang sedia ada dan tidak perlu arahan berikutan ia adalah proses biasa.
Ketika ditanya sama ada bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mustapha Harun ada meminta kebenarannya mengenai pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing, Dr Mahathir berkata, beliau tidak ingat ada memberi sebarnag arahan tertentu tetapi ada menasihati Mustapha supaya mengikut undang-undang.
Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata sering terjadi arahannya disalahertikan oleh menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Katanya, beliau selalu mengadakan mesyuarat selepas mesyuarat pasca Kabinet untuk menjelaskan lagi arahannya bagi memastikan arahannya itu jelas dan difahami. – 11 September, 2013.

Ulasan

Catatan Popular