Akta Pencegahan Jenayah tidak berkesan kerana zaman canggih, kata bekas KPN



Perubahan zaman yang semakin canggih menyebabkan penggunaan Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959 tidak berkesan, kata Tan Sri Abdul Rahim Noor, sambil menegaskan pihak polis memerlukan undang-undang yang lebih tegas.
Bekas Ketua Polis Negara tersebut berkata zaman sekarang yang semakin canggih sekiranya dibandingkan semasa awal pelaksanaannya dahulu.
"Semasa APJ 1959 mula dilaksanakan dahulu, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tidak secanggih sekarang.
"Dengan segala kemudahan yang ada seperti telefon bimbit, internet dan komputer, individu yang dikenakan perintah sekatan masih lagi boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli kumpulannya," kata beliau dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Abdul Rahim kemudiaan berkata semasa tahun 1969 ketika negara berhadapan dengan jenayah kekerasan dan juga komunis, APJ kurang berkesan untuk menangani masalah tersebut dan terpaksa memperkenalkan Ordinan Darurat (E0) 1969, situasi yang sama berlaku ketika ini.
"Selepas EO 1969 dilaksanakan, kegiatan gengster kaum Cina semakin berkurangan dan pengaruhnya semakin hilang.
"Itu tandanya undang-undang yang ada sebelum EO digubal tidak berupaya menangani gejala gengsterisme secara cekap dan menyeluruh. Walaupun wujud dua akta yang berkuatkuasa secara serentak iaitu EO dan APJ, pihak polis lebih kerap menggunakan EO kerana cekap dan berkesan," katanya lagi.
Beliau kemudiaan juga membidas dengan pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang tidak bersetuju sekiranya undang-undang pencegahan sama seperti EO diperkenalkan atas alasan hak asasi manusia.
"Kalau boleh mereka mahu semua orang diberi kebebasan, seolah-olah kepentingan seseorang individu, termasuk ketua kumpulan gengster, contohnya, mengatasi kepentingan masyarakat sekeliling.
"Sedangkan tidakkah kepentingan masyarakat terbanyak itu juga merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia?" soal beliau lagi.
Abdul Rahim bagaimanapun tidak mengharapkan kerajaan akan mengembalikan undang-undang pencegahan seperti EO 1969 memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sendiri berkata undang-undang baru perlu menjamin hak asasi seseorang individu, tetapi beliau menggesa agar APJ 1959 diperkukuhkan.
"Untuk menghidupkan semua E0 1969 nampaknya boleh diibaratkan jauh panggang dari api.
"Sekiranya kerajaan berpandangan tidak perlu menghidupkan semula EO 1969, saya fikir APJ 1959 mestilah diperkukuhkan lagi. Misalnya dengan penggunaan alat peranti pengawasan elektronik dan mengenakan hukuman lebih berat sekiranya melanggar perintah sekatan," terang beliau lagi.
Najib sebelum ini secara terbuka berkata tidak bersetuju dengan desakan mengembalikan penahanan tanpa bicara untuk mengekang peningkatan jenayah kerana penambahbaikan APJ wajar seiring dengan hak asasi manusia dan tahanan tanpa bicara bercanggah kerana penjenayah tidak boleh dibuktikan melakukan jenayah.
Kenyataan Najib dilihat bertentangan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan selepas pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO) lebih kurang 260,000 penjenayah bebas di luar sana.
EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik. - 1 September, 2013.

Ulasan

Catatan Popular