5 lelaki disyaki Geng 04, Geng 08 ditahan

Ahmad Ibrahim (kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd. Nashir Ya menunjukkan gambar tatu anggota kumpulan kongsi gelap yang telah ditahan oleh Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar, semalam. - Bernama
ALOR SETAR 31 Ogos - Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap Geng 04 dan Geng 08 dalam Op Cantas Khas di dua daerah di negeri ini semalam.
Empat daripada mereka ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam dekat sini kira-kira pukul 5.40 petang semalam manakala seorang lagi ditahan pukul 12.45 tengah malam tadi di Kulim sempena operasi Ambang Merdeka.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, tangkapan di Bukit Kayu Hitam melibatkan empat lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun dan disyaki daripada Geng 04 yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan samseng paling berbahaya.
Katanya, mereka yang berasal dari Kubang Pasu ditahan ketika berjalan kaki menuju ke Thailand.
"Polis menahan reman mereka untuk siasatan lanjut sama ada terlibat dalam beberapa kes jenayah yang dilaporkan sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.
Ahmad berkata, seorang lelaki yang ditahan di Kulim pula berusia 21 tahun dan disyaki terlibat dalam Geng 08.
Menurut beliau, lelaki itu ditahan setelah didapati terdapat simbol di badannya yang mempunyai persamaan dengan salah satu daripada 49 kumpulan yang diharamkan kerajaan.
Berikutan penahanan itu, katanya, beliau meminta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah untuk membuat siasatan lebih lanjut terhadap lima lelaki tersebut.
"Mereka ditahan di bawah Seksyen 56 dipercayai ahli namun belum dapat disahkan. Jika didapati terlibat kita akan ambil tindakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli pertubuhan haram," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang Op Cantas Khas dilancarkan sejak 17 Ogos lalu sehingga semalam, Polis Kedah memeriksa 4,014 individu dan menahan 183 orang namun sebahagian daripadanya dibebaskan setelah disiasat.
Katanya, pemeriksaan rambang membabitkan kenderaan pula adalah sebanyak 2,567 buah iaitu 1,116 kereta, 1,248 motosikal dan lain- lain sebanyak 203.
"Operasi ini tidak hanya dijalankan melibatkan 11 daerah sahaja malah pemeriksaan dilakukan terhadap mereka yang pergi ke Thailand menerusi pintu masuk Bukit Kayu Hitam atau Kota Putra," katanya.


Ulasan

Catatan Popular