Tan Sri Musa Hassan : MANSUH EO TANPA UNDANG2 PENGGANTII SATU KESILAPAN..!!!!
pada 10-09-2013 07:09 Ditulis Oleh Farah Eliana Mohd Adnand
SHAH ALAM: Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan berkata kerajaan silap memansuhkan Akta Ordinan Darurat (EO) tanpa memperkenalkan undang-undang baru untuk menggantikannya.
Beliau berkata sepatutnya perlu ada cadangan undang-undang bagi menggantikan EO, bukan terus mansuh.
Tegas Musa, pihak berkuasa sukar bertindak membanteras jenayah menggunakan undang-undang konvensional, justeru keperluan untuk memperkenalkan undang-undang yang memberikan polis kuasa bertindak dengan lebih tegas.
Musa tidak yakin bahawa pindaan-pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang akan dibentangkan di Parlimen bulan ini berupaya memenuhi keperluan polis.
"Saya rasa kita perlu mendesak kerajaan kita dan parti pembangkang juga bahawa kita memerlukan akta perlindungan yang besar dan kukuh, dan kuat,"katanya.
Bekas Ketua Pengarah Penjara Tan Sri Zaman Khan berkata pindaan kepada PCA harus mempunyai peruntukan untuk mengelakkan salah guna kuasa terhadap suspek.
Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan EO tahun lalu berikutan desakan pelbagai pihak untuk membuka lagi ruang hak asasi manusia dan menamatkan era menghukum suspek tanpa perbicaraan.
Bagaimanapun pemansuhan EO disusuli dengan peningkatan mendadak kes pembunuhan menggunakan senjata api yang dikatakan didalangi oleh sindiket pengedar dadah yang dianggotai oleh bekas tahanan EO.
Beberapa pihak kemudiannya menyalahkan Pakatan Rakyat (PR) kerana mendesak ISA dan EO dimansuhkan.
Musa bagaimanapun melihat tindakan PDRM menubuhkan dua Skuad Khas dengan 400 anggota di Bukit Aman juga satu kesilapan kerana mereka melangkaui pegawai di peringkat negeri.
"Skuad baru itu ada silap sikit...Kita sebagai ketua perlu tegas untuk orang bawah ikut arahan kita. Kerajaan kalau buat polisi perlu terima pendapat pegawai kerajaan kita," katanya.
Selain daripada itu kesemua panel forum ini turut bersetuju bahawa pemansuhan EO menyebabkan penjenayah lebih berani untuk melakukan jenayah.
"Sebelum akta ini (EO) dimansuhkan, adakah kongsi gelap berani tampil? Sekarang mereka berani buat perarakan kematian bagi tunjuk kuasa.
"Kita jadikan undang-undang ini (EO), bukan untuk aniaya manusia lain, tetapi untuk pastikan kita hidup bebas, dan bukan mereka (ahli kongsi gelap) hidup bebas," kata Tan Sri Zaman Khan.