PESANAN DR. MAHATHIR UNTUK SEMUA ORANG MELAYU

Pesanan Dr. Mahathir untuk semua orang Melayu

21/06/2003 2:39 p.m.

OLEH ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)

``SAYA berdoa kepada-Nya supaya memelihara bangsa hamba-Nya ini daripada sifat-sifat yang keji dan menjadikan mereka bangsa yang mulia dan berjaya, yang mematuhi segala ajaran agama suci Engkau, ajaran yang menyuruh berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan memajukan bangsa ini untuk dijadikan contoh sebagai umat Islam yang tunduk kepada segala perintah Engkau Ya Allah.''

Doa yang dilafazkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan dasar merasmikan Perhimpunan Agung UMNO ke-54, kelmarin bukan sahaja untuk ahli UMNO semata-mata tetapi untuk orang Melayu keseluruhannya.

Bagi mereka yang mengaku dirinya Melayu dan beragama Islam sudah pasti akan tersentuh dengan doa ini.

Ia adalah doa seorang pemimpin yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk memartabatkan bangsa dan agamanya.

Oleh itu, bagi orang Melayu tanpa mengira fahaman politik serta mampu berfikir dengan rasional dan tidak dipengaruhi oleh politik sempit, mereka akan memahami bahawa Dr. Mahathir melafazkan doa itu demi untuk kesejahteraan mereka.

Walaupun selama 22 tahun, Dr.Mahathir menjadi Presiden kepada sebuah parti iaitu UMNO tetapi perjuangannya selama ini adalah untuk orang Melayu serta rakyat Malaysia.

Inilah hakikat, fakta dan kenyataan yang tidak harus dinafikan oleh sesiapapun.

Atas sebab itulah di permulaan doanya, Dr. Mahathir berkata, ``Saya hanya ingin menyumbang kepada parti yang telah memberi peluang yang banyak bagi saya merealisasikan segala idea yang ada pada saya bagi pemulihan maruah bangsa saya, memajukan sedikit bangsa saya dan negara saya''.

Dr. Mahathir berjuang bukan untuk UMNO semata-mata, bukan untuk kesenangan diri atau keluarga beliau tetapi demi untuk orang Melayu dan Malaysia.

Justeru itulah beliau dalam ucapan penutupnya menyatakan penghargaan bukan sahaja kerana sokongan yang diberikan oleh UMNO, tetapi juga orang Melayu dan bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Dr. Mahathir menitiskan air mata ketika melafazkan doa tersebut bukan kerana seperti mana kata beliau disebabkan pengunduran dirinya daripada arena politik tanah air tetapi kerana masih bimbang terhadap masa depan orang Melayu terutamanya mereka yang berada di dalam UMNO.

Dr. Mahathir bimbang selepas persaraan beliau akan berlaku perebutan jawatan dalam UMNO yang menjadi tunjang dan tunggak perjuangan orang Melayu sehingga memungkinkan kaum itu menjadi lemah.

Berdasarkan kepada hakikat itu, jelaslah kini bahawa perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu seterusnya terletak kepada pemimpin-pemimpin pelapis yang berada dalam UMNO.

Dr. Mahathir sudah tentulah tidak mengharapkan Pas untuk berbuat demikian kerana sejak dulu, kini dan mungkin selamanya, Pas akan terus dengan politik assabiyahnya dan berjuang semata-mata untuk merebut kuasa politik dan bukannya untuk orang Melayu.

Malah parti yang mengaku memperjuangkan Islam itu setakat ini tidak menunjukkan apa-apa bukti bahawa mereka mampu membela nasib orang Melayu. Apa yang mereka tahu ialah mencaci dan menghina pemimpin-pemimpin UMNO serta kerajaan.

Justeru adalah jelas, nasib dan masa depan orang Melayu serta negara ini amat bergantung kepada kekuatan UMNO itulah mesej yang ingin disampaikan oleh Dr. Mahathir seperti mana kata beliau `UMNO saya ulangi bukan sebarang parti, UMNO adalah teras dan tunjang kepada parti yang memerintah negara tercinta ini. Kuat UMNO kuatlah BN, kuatlah kerajaan Malaysia, kuatlah Malaysia. Lemah UMNO akan mengundang mala petaka kepada kita semua.''

Oleh itu pemimpin UMNO yang sama-sama menitiskan air mata mereka ketika mendengar doa yang dilafazkan oleh Dr.Mahathir harus menyedari bahawa tanggungjawab yang ada pada mereka amat berat sekali.

Malah mereka juga harus mengotakan janji masing-masing bahawa akan memastikan tidak akan ada perebutan kuasa dalam UMNO yang boleh menyebabkan parti itu huru-hara.

Janji yang dilakukan tidak boleh dijadikan satu retorik kerana ia diketahui oleh semua ahli UMNO seperti mana kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.

``Satu Malaysia sudah baca surat khabar yang semua tulis di muka surat depan. Ini satu ikrar saya yakin Datuk Seri Presiden (Dr.Mahathir) selesa bila tidak ada pertandingan hebat ini, kerana perakuan sudah dibuat.

``(Tetapi) kalau betul mereka lawan, mereka berbohonglah pada kita semua.''

Mereka benar-benar harus memahami dan mengerti bahawa perjuangan mereka dalam UMNO bukanlah semata-mata demi untuk merebut kekuasaan atau berjuang untuk diri sendiri tetapi perjuangan mereka bakal penentu kepada kesinambungan perjuangan serta masa depan orang Melayu seterusnya.

Pemimpin serta ahli-ahli UMNO harus sedar bahawa jika mereka terus bersengketa kerana merebut jawatan sudah pasti mereka akan menjadi lemah, ini sudah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud:

``Janganlah saling bersengketa. Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu sering bersengketa (bermusuh-musuhan) lalu mereka binasa.

Sabda Rasulullah inilah yang menjadi pegangan Dr. Mahathir yang setiap kali Perhimpunan agung UMNO sering mengingatkan bukan sahaja ahli parti itu tetapi juga orang Melayu supaya bersatu-padu kerana perpecahan di antara mereka hanya mengundang padah.

Setakat ini berdasarkan kepada iltizam dan janji yang dilafazkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO adalah jelas perebutan kuasa itu mampu dielakkan.

Apatah lagi ahli-ahli UMNO kecuali mereka yang mempunyai kepentingan sudah pasti akan menolak pemimpin-pemimpin yang terlalu ingin merebut jawatan.

Janganlah pula janji yang dibuat hanya semata-mata kerana kasihan kepada Dr. Mahathir dan apabila beliau bersara nanti, janji itu hanya tinggal janji.

Pemimpin yang baik tidak akan memungkiri janjinya kerana perbuatan seumpama itu hanyalah dilakukan oleh orang-orang munafik yang sudah tentu tidak layak untuk menjadi pemimpin.

Bagi Pas pula, mereka mungkin `merasa gembira' melihat kebimbangan Dr. Mahathir ini kerana ia kononnya akan memberi peluang terbaik kepada parti itu untuk meraih sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

Tetapi persoalannya, apakah wajar Pas bersikap demikian sedangkan pesanan atau doa Dr. Mahathir bukan semata-mata untuk perjuangan UMNO tetapi demi orang Melayu.

Jika pemimpin dan ahli Pas mengaku diri mereka Melayu dan beragama Islam, mereka sudah pasti akan turut merasai kehilangan Dr. Mahathir dan memahami ancaman yang sedang menanti umat Melayu.

Sememangnya tidak salah untuk berbeza fahaman politik, tetapi pemimpin Pas sudah pasti memahami bahawa Islam telah menegaskan bahawa perbezaan seumpama itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka meninggalkan jemaah yang sebangsa dan seagama dengan mereka.

Rasulullah s.a.w bersabda,``Barang siapa tidak menyukai sesuatu tindakan pemerintahnya maka hendaklah bersabar. Sesungguhnya orang yang meninggalkan (membelot) jemaah walaupun hanya sejengkal maka matinya tergolong dalam keadaan jahilliyah.'

Apa yang diperjuangkan oleh Dr. Mahathir adalah untuk orang Melayu, sama ada Pas hendak akui atau tidak melalui kekuatan UMNO-lah orang Melayu kini berjaya dalam pelbagai bidang dan mampu duduk setaraf dengan bangsa lain.

Pas perlu mengakui bahawa walaupun selama ini mereka mengecam pemimpin dan parti UMNO dengan pelbagai tuduhan tetapi mereka juga sedang menumpang nikmat yang diperolehi melalui perjuangan UMNO.

Oleh itu, mereka perlu membuka minda dan membebaskan pemikiran daripada politik sempit untuk menerima dan mendengar amanat Dr. Mahathir tersebut.

Mereka tidak harus selama-lamanya melihat UMNO dan Dr.Mahathir dengan keburukan semata-mata, fikirkanlah mengenai survival politik orang Melayu.

Jika Melayu lemah, Pas juga akan lemah dan kesudahannya orang Melayu menjadi bangsa yang tidak dihormati itulah yang dibimbangkan oleh Dr.Mahathir.

Jangan kerana politik sempit perasan benci dan dendam kesumat dibiarkan bermaharajalela sehingga sanggup melakukan penghinaan dan tidak mahu memikirkan sumbangan Dr. Mahathir serta pentingnya orang Melayu bersatu.

Mereka tidak harus terus menghasut orang Melayu sehingga menimbulkan perpecahan yang akhirnya tidak akan menguntungkan sesiapa juga orang Melayu sama ada dari UMNO mahupun Pas.

Kesimpulannya, semua orang Melayu harus memahami bahawa perjuangan mereka belum selesai dan cabaran besar sedang menanti mereka.

Jika mereka terus bersengketa kerana jawatan dan kuasa politik sudah pasti suatu hari kelak tidak mustahil orang Melayu seperti mana yang dibimbangi oleh Dr. Mahathir akan kembali dijajah.

Ulasan

Catatan Popular