Empat loji air ditutup semalam operasi semula hari ini

KUALA LUMPUR: Kesemua empat loji air yang ditutup semalam akibat tumpahan minyak di Sungai Selangor beroperasi semula hari ini, kata Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Md Khairi Selamat.
Md Khairi berkata pihaknya telah menjalankan proses penyedutan minyak serta air sungai yang tercemar akibat tumpahan minyak diesel itu. 
"Pada jam 1 pagi ini, saya menerima maklumat bahawa kesemua empat loji itu sudah mula beroperasi semula, tetapi masih belum pulih sepenuhnya," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan terbaru gangguan bekalan air itu. 

Empat loji yang terlibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SPP2), Fasa 3 (SPP3) serta LRA Rantau Panjang.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata walaupun loji berkenaan sudah beroperasi, namun ia mengambil masa untuk membekal air seperti biasa.

Sementara itu, pihak Alam Flora menafikan dakwaan yang tersebar melalui laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan syarikat itu sebagai punca pencemaran tumpahan diesel di sungai berkenaan. 

Alam Flora dalam kenyataannya hari ini berkata perbuatan itu tidak bertanggungjawab kerana syarikat itu bukan pemilik atau mempunyai kaitan dengan bengkel penyelenggaraan lori sampah yang dimaksudkan sebagai punca pencemaran itu. 

Alam Flora juga berharap agar pencemaran di sungai itu dapat diselesaikan segera dan bekalan air akan kembali normal seperti sedia kala. 

Dalam kejadian jam 8 pagi semalam, tumpahan minyak berlaku apabila sebuah lori tangki diesel terbalik dan muatannya melimpah dan mengalir ke dalam sungai itu. 

Berikutan itu, sebahagian besar penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air setelah empat loji rawatan air ditutup selepas sungai tersebut terjejas. - Bernama

Ulasan

Catatan Popular