Rungkai rasa prejudis - Datuk Seri Najib Razak
UCAPAN SEMPENA AIDIL FITRI
DATUK Seri Najib Razak menyampaikan ucapan sempena Aidilfitri
Berita Harian
Khamis, 8 Ogos 2013
Khamis, 8 Ogos 2013
Teruskan bibit kesatuan bukan perpecahan demi perkukuh perpaduan nasional: PM
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat merungkai rasa prejudis antara satu sama lain demi memastikan kelangsungan dan kestabilan negara terus dikekalkan.
Perdana Menteri juga mengajak rakyat terus menghargai dan memelihara keamanan serta kemakmuran yang dikecapi. Katanya, rakyat perlu sedar bahawa bukan mudah untuk membina dan memastikan kelangsungan sebuah negara yang stabil seperti Malaysia hari ini.
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat merungkai rasa prejudis antara satu sama lain demi memastikan kelangsungan dan kestabilan negara terus dikekalkan.
Perdana Menteri juga mengajak rakyat terus menghargai dan memelihara keamanan serta kemakmuran yang dikecapi. Katanya, rakyat perlu sedar bahawa bukan mudah untuk membina dan memastikan kelangsungan sebuah negara yang stabil seperti Malaysia hari ini.
Perpaduan nasional
Malah, dalam konteks Islam, katanya, perpaduan nasional yang tuntas tidak mungkin dicapai jika tiada kesepakatan (ijmak) dalam kalangan umatnya dalam perkara asas beragama, dan polemik tanpa kesudahan, hanya akan merugikan semua pihak.
Berucap menyampaikan perutusan Aidilfitri 2013, Perdana Menteri melahirkan rasa syukur kerana rakyat negara ini masih berpeluang meraikan hari lebaran dalam keadaan aman dan bebas daripada peperangan, persengketaan, mahupun bencana alam melampau, seperti melanda saudara seagama di beberapa negara seluruh dunia.
“Makanya, pada hari-hari kebesaran seperti ini, atas nama negara yang tercinta, pupuklah dan teruskanlah menyemai bibit-bibit kesatuan sesama kita, bukannya perpecahan demi pengukuhan perpaduan kebangsaan,” katanya.
Ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung melalui RTM malam tadi.
Beliau juga mahu rakyat mengambil iktibar daripada pengalaman dan pergolakan di beberapa negara kerana fahaman melampau yang menjadi elemen negatif yang memporakperandakan sesebuah negara bangsa dan menghancurkan kelestarian tamadunnya.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut menggesa umat Islam di negara ini tidak tersasar daripada ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah baik dari segi akidah, syariah dan keperibadian.
Konsep maqasid syariah
Katanya, kerajaan memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam, dengan demikian penyebaran ajaran lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dilarang.
Penetapan dasar itu, katanya, sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai objektif utamanya.
“Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam supaya berwaspada dan berhati-hati, janganlah sesekali terpedaya pada pengaruh atau fahaman menyimpang yang sedang menular dan cuba merosakkan tradisi amalan Islam di Malaysia ini,” katanya.
Najib berkata, umat Islam di negara ini haruslah memahami bahawa penetapan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab rasmi negara untuk memastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dibela, sekali gus dipertahankan agar perpaduan umat Islam sentiasa berkekalan.
“Sebagai umat Islam, kita seharusnya berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman yang menyongsang daripada ajaran murni Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pokoknya, kita tidak mahu sifat taksub dan fanatik yang akan mengelirukan rakyat khususnya orang Islam kerana akan memecahbelahkan ummah,” katanya.
Perdana Menteri juga menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil yang jernih dengan meruntuhkan dan merungkaikan prejudis antara satu sama lain, sebaliknya membuka ‘pintu hati’ dan pintu rumah dengan jujur dan ikhlas dalam meraikan Aidilfitri.
Kunjung-mengunjungi
Beliau juga mahu rakyat meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi dan mempertautkan muhibah rakyat Malaysia.
Najib turut mengajak masyarakat Malaysia untuk menzahirkan penghargaan kepada perajurit negara, terutama yang bertugas di perbatasan, serta anggota pasukan keselamatan yang sejak sekian lama mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Najib turut mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf bagi pihak dirinya, isteri serta keluarga di atas apa-apa kekhilafan dan memanjatkan doa supaya seluruh rakyat negara ini dapat menyambut hari lebaran kali ini dengan penuh kegembiraan di samping mereka yang tersayang. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan