I.S.A : "terima kasih pulihkan saya.."
‘Terima kasih pulihkan saya’
SEORANG bekas tahanan ISA didakap oleh ahli keluarganya setelah dibebaskan di Pasir Mas, Kelantan, kelmarin.
|
PASIR MAS 6 Ogos – Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan dari Kem Tahanan Perlindungan Kamunting (Kemta), Perak semalam menyifatkan kem itu menjadi universiti kedua buatnya kerana berpeluang mendalami pelbagai ilmu.
Bekas anggota Imigresen berusia lingkungan 50-an itu berkata, sepanjang lapan bulan menjalani proses pemulihan di Kemta, dia dilayan begitu baik oleh petugas kem, tidak buruk seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.
Sepanjang berada di kem itu juga, katanya, dia sempat menghabiskan masa membaca antara empat hingga lima buah buku seminggu, selain menjalani kursus motivasi manakala tahanan beragama Islam pula diberi pendedahan mengenai pendidikan agama itu dengan baik.
Malah, dia yang menghidap penyakit ‘tiga serangkai’ mampu mengurangkan berat badan sebanyak 16 kilogram sepanjang ditahan, hasil diet dan pemakanan yang teratur, menjadikan tahap kesihatannya semakin baik.
“Semasa ditahan, semua tahanan berpeluang mendalami ilmu agama dan pelajaran. Perpustakaan pun ada. Saya dapat tahu ramai telah dapat doctorate (ijazah kedoktoran) di Kemta. Kemta macam jadi universiti kedua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Turut hadir pada sesi temu bual tersebut ialah Timbalan Komisioner Kanan Penjara, Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim dan Pengarah Parol Kelantan, Mat Yaacob.
Dalam sesi temu bual kira-kira 20 minit yang berlangsung dalam suasana harmoni diselangi gelak-ketawa itu, bekas anggota Imigresen tersebut dengan ditemani isteri dan adik beradiknya, turut menyatakan telah insaf dan menyesal di atas apa yang telah dilakukannya.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah dapat memulihkan saya. Harapan kepada rakan-rakan di luar sana, kejadian yang ditakdirkan berlaku pada diri saya diambil dijadikan pengajaran dan iktibar supaya menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab dan amanah serta penuh integriti kerana keselamatan negara lebih diutamakan,” katanya.
Beliau yang turut menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Mahmood Adam dan pegawai-pegawai Kemta memberitahu, ingin melupakan kisah silam serta mahu memulakan hidup baru dan berhasrat terlibat dalam perniagaan selepas ini.
Ulasan
Catat Ulasan