Memahami Kemelut Isu Kalimah Allah
Salam 2 all. Alhamdulillah hari ini Khamis 15 Syawal 1434 bersamaan 22 Ogos 2013, dalam keadaan umat Islam masih meraikan kemenangan Ramadhan dan negara menanti sambutan kemerdekaan, kes permohonan Titular Archbishop Kuala Lumpur untuk membatalkan rayuan yang dibuat oleh Kerajaan berkaitan isu pelarangan penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak Gereja melalui penerbitan akhbar The Herald.
Kes permohonan didengar di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman Putrajaya diketuai oleh YA Dato' Abu Samah Nordin yang bersidang bersama YA Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim dan YA Dato' Rohana Yusof.
Sebagai latarbelakang, kes kemelut kalimah ALLAH ini bermula apabila Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan notis bertarikh 07 Januari 2009 melarang akhbar The Herald daripada menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitannya.
Pada 16 Februari 2009, Archbishop Murphy Pakiam mewakili pihak Titular Gereja memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan pelarangan KDN tersebut. Alasan mereka antara lain ialah kristian juga berhak menggunakan kalimah ALLAH sebagai gantinama God didalam Bible terbitan Bahasa Melayu mereka.
Permohonan didengar dihadapan Hakim YA Datuk Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah pada 31.12.2009, enam hari selepas perayaan Krismas dan sehari diambang sambutan Tahun Baru Kristian, mengeluarkan perintah membatalkan pelarangan KDN tersebut.
Kesan daripada keputusan itu bermakna kristian berhak menggunapakai kalimah ALLAH dalam apa bentuk sekalipun.
Kerajaan telah memfailkan rayuan yang septutnya didengar oleh Mahkamah Rayuan Malaysia. Rayuan itu telahpun ditetapkan pada 10 Sept 2013. Sementara menunggu rayuan, kesemua pihak bersetuju untuk menangguhkan perlaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi itu.
Bagaimanapun, sementara menanti rayuan didengar, pihak Gereja Kristian telah memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan yang dibuat oleh Kerajaan. Alasan mereka ialah kerana selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan satu surat mengandungi 10-Point Resolution bertarikh 11.04.2011 yang antara lain membenarkan kristian mengimpot masuk Bible dalam semua bahasa.
Peguam pihak Gereja, Porries Ryan menhujahkan bahawa surat tersebut memberi kesan membatalkan pelarangan KDN tersebut, maka isu rayuan pelarangan penggunaan kalimah ALLAH adalah tidak relevan dan hanya bersifat akademik.
Barisan peguam Kerajaan dan Majlis Agama Negeri-Negeri termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) menghujah balas dengan menyatakan bahawa surat tersebut tidak relevan kerana ianya tidak menyentuh tentang kebenaran menggunakan kalimah ALLAH, sebaliknya hanya mengenai soal kemasukan Bible ke dalam negara ini. Selanjutnya, surat tersebut tidak mempunyai kesan undang-undang kerana ia tidak boleh membatalkan budibicara Menteri Dalam Negeri yang dibuat menurut Seksyen 6 Akta Percetakan & Penerbitan.
Setelah mendengar hujah kesemua pihak, Mahkamah telah menangguhkan keputusan ke jam 03.00 petang. Kesemua pihak berdebar menanti keputusan tersebut terutamanya umat Islam. Kehadiran umat Islam yang begitu ramai daripada pelbagai latarbelakang dan mewakili pelbagai pertubuhan (termasuk Timbalan Menteri Dato' Razali turut kelihatan) telah memeriahkan suasana.
Disiplin dan akhlak baik yang ditunjukkan oleh umat Islam yang berada diluar Kompleks Istana Kehakiman dengan berzikir, bersalawat dan membaca ayat-ayat Al Quran memberikan satu harapan baru untuk ukhwah Islammiyyah. Manakala umat Islam yang penuh sesak didalam dewan perbicaraan Mahkamah telah hadir dengan penuh sopan dan berakhlak.
Walaupun wakil gereja dan penganut agama asing serta kumpulan media asing turut hadir termasuk wakil beberapa kedutaan termasuk Kedutaan Amerika, namun mereka langsung tidak ganggu oleh umat Islam, malah mereka dapat hadir bersama dengan aman harmoni didalam Mahkamah.
Bagi umat Islam, sekiranya Mahkamah membenarkan permohonan Titular Archbishop KL tersebut untuk membatalkan rayuan Kerajaan, maka sekaligus dan serta-merta pihak kristian sudah boleh menggunapakai kalimah ALLAH. Malah saperti yang saya sebut kepada beberapa wakil media asing, "if the Court were to allow the application to strike out, it means that the Christians can start publishing their publication using the word ALLAH almost immediatley"!
Tepat jam 3.30ptg, ketiga-tiga Hakim telah keluar memasuki Dewan Mahkamah. Suasana sepi menanti keputusan. Yang Arif Dato' Abu Samah Nordin, yang mempengerusikan sidang menyatakan bahawa Mahkamah telah mencapai keputusan sebulat suara. Dengan keputusan 3-0, Mahkamah menolak permohonan Titular Archbishop Gereja KL atas alasan surat PM itu tidak relevan dalam menentukan isu pelarangan penggunaan kalimah ALLAH.
Ini adalah kerana hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang boleh mengeluarkan larangan dan membatalkan larangan penggunaan kalimah ALLAH menurut Akta Percetakan & Penerbitan. Memandangkan Menteri KDN sendiri telah menmbuat Surat Akuan Sumpah bahawa pelarangan tersebut masih kekal dan belum dibatalkan, maka isu pelarangan kalimah ALLAH itu masih kekal berkuatkuasa dan perlu dibicarakan sepenuhnya dalam rayuan nanti.
Keputusan Mahkamah itu disambut dengan gemaan laungan takbir ALLAH huakbar oleh mereka yang hadir di Kompleks Istana Kehakiman.
Mahkamah juga mengarahkan supaya rayuan Kerajaan mengenai keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan bertarikh 31.12.2009 membatalkan pelarangan penggunaan kalimah ALLAH hendaklah dihujahkan sepenuhnya dalam perbicaraan rayuan yang ditetapkan pada 10 Sept 2013.
Alhamdulillah, kita dimenangkan ALLAH bagi pusingan ini. Kita berdoa kepada ALLAH supaya memenangkan kita pada 10.09.2013 nanti.
Saya bagi pihak rakan peguam yang lain mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua pihak yang hadir dan memberi sokongan sepenuhnya. Malah ada yang datang sejauh Johor dan Kedah. Kepada mereka, saya ingin rakamkan penghargaan kami. Kehadiran mereka semua memberi semangat dan kekuatan kepada para peguam untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kalimah Tauhid ini.
Kepada semua umat Islam, marilah kita terus memberikan sokongan dengan hadir beramai-ramai pada hari Selasa 04 Zulqaedah 1434 bersamaan 10 Sept 2013 jam 09.00pagi di Mahkamah Rayuan Malaysia, Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya. Ketepikan sentimen politik jumud, assobiyyah dan sempit; sebaliknya marilah kita umat Islam bersatu untuk mempertahankan aqidah kita.
Kita umat Islam Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat dan Satu Aqidah; sewajarnya kita menjadi Satu Umat!
Semoga ALLAH memberikan petunjuk dan hidayah, serta menganugerahkan kita istiqomah dalam keimanan kepada ALLAH.
Wassalam.
Adios amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin Khamis 15 Syawal 1434 22 Ogos 2013
Ulasan
Catat Ulasan