UTUSAN MALAYSIA 16 Nov - UMAT ISLAM BERHAK BIMBANG TUNTUTAN COMANGO

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Umat Islam di negara ini berhak untuk berasa bimbang terhadap tuntutan Gabungan NGO- NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo), Azril Mohd. Amin berkata, tuntutan-tuntutan Comango berhubung hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak untuk murtad bagi orang Islam dan kesamarataan agama adalah tidak munasabah.

Menurut beliau, Comango secara spesifik mendesak Seksyen 377A Kanun Keseksaan berkaitan jenayah liwat dan enakmen-enakmen jenayah syariah yang bertujuan menyekat gejala LGBT, murtad serta penyebaran ajaran Syiah dimansuhkan.

"Kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menganggotai MuslimUPRo bersepakat bahawa tuntutan-tuntutan tersebut bertentangan dengan kedaulatan negara dan mencabar kedudukan Islam yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.

"Tuntutan yang dibuat di mana-mana peringkat sekalipun mesti mengambil kira kerangka Islam sebagai agama Persekutuan dan nilai budaya serta sejarah negara," katanya pada Forum Comango: Islam Tercabar di Geneva - Di Mana Suara Ummah? di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM) di sini malam tadi.

Azril yang juga Naib Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) merupakan ahli panel forum tersebut bersama Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), A. Karim Omar.

Delegasi MuslimUPRo memantau tuntutan yang dibuat Comango termasuk dalam isu proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu.

ends

(simpan)

Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini selain mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.

MuslimUPRo dianggotai pertubuhan Islam utama negara antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Dalam pembentangannya, Azril turut mempertikaikan saranan Comango agar lebih banyak bahan bacaan berkaitan hak asasi manusia dalam bahasa Melayu diterbitkan kerana Utusan Malaysia kononnya memanipulasi isu LGBT dan murtad dalam laporan berhubung proses UPR.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131117/dn_07/Bimbang-tuntutan-Comango#ixzz2kqsyeu4D 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ulasan

Catatan Popular