BUDAYA BERAGAMA DI BORNEO

Sumber : MyMedia

Budaya Beragama Di Borneo

1. Kisah benar dari Patricia Umang Fredrick:

NuRul Amira, Noor Azlin Yusup, Deejay E.t , EiRin Azreen Azman, Emmafaridah Faridah, dan Nur Qyra Atiqah. Kami semua sekeluarga. Berlainan agama, tetapi pertalian darah tak akan putus.

2. Kisah benar dari Florena Khaty Ason: 

Hampir 30 peratus ahli keluarga saya memeluk Islam. Tiba musim perayaan Gawai, kami semua berhimpun dalam satu rumah, beramah-tamah seperti kebiasaannya kami suatu ketika dahulu.

Sepanjang perayaan Gawai Dayak, hidangan yang disajikan lebih-kurang sama dengan hidangan musim perayaan Hari Raya. Mana-mana ahli keluarga yang mahu menjamah makanan yang selain daripada itu, dia boleh ke kedai atau rumah orang lain. Dalam rumah kami tak boleh ada makanan yang dipandang haram oleh ahli keluarga kami yang beragama Islam.

Apabila ahli keluarga yang beragama Kristian mengadakan sembahyang Rosary, ahli keluarga yang beragama Islam yang kebetulannya ada di sana cuma perlu duduk membatu, tak payah buat apa-apa. Kami berdoa, mereka tak payah ikut kami berdoa.

Bila masuk waktu sembahyang bagi umat Islam, giliran ahli keluarga yang beragama Kristian pula yang menunjukkan rasa hormat. Tak ada orang dibenarkan buang bising bila mereka sembahyang di rumah. Budak-budak yang sedang menonton TV di ruang tamu diarahkan untuk memperkecilkan suara TV, atau lagi baik tutup TV.

Setakat itu sahaja perbezaan kami dalam satu keluarga yang besar. Hubungan silaturrahim dalam keluarga kami tidak terjejas oleh perbezaan agama. Masing-masing saling hormat-menghormati sehingga ke hari ini.

3. Kisah benar dari Sengapa Rembang:

Apa yang akan saya ceritakan ini terjadi di depan mata saya sendiri dan bukan direka-reka. Kisah ini berlaku di rumah panjang kami. Seorang perempuan Melayu beragama Islam dari Johor Baharu bernikah dengan seorang pemuda Iban. Dia mengambil keputusan untuk berpindah ke Sarawak bersama-sama dengan suami dan anak mereka. Mereka bermastautin di rumah panjang.

Pernah suatu ketika ibu kepada perempuan ini memanggil dia balik ke Johor. Dia tak engkar, dia balik ke Johor. Tetapi perasaan rindu dia pada Sarawak memanggil dia kembali kepada kehidupan rumah panjang. Di sini lah dia tinggal sehingga ke hari ini.

Mereka sekeluarga mengikuti aktiviti orang-orang rumah panjang asalkan aktiviti tersebut tidak melanggar pantang-larang Islam. Semasa perayaan Gawai Dayak, mereka ikut serta dalam aktiviti 'ngabang' atau rumah terbuka. Mereka menjamah makanan yang halal sahaja. Makanan yang dihulurkan kepada mereka biasanya dari balang yang belum dibuka lagi.

Di bulan puasa, mereka sekeluarga berpuasa. Apabila berbuka puasa, ibu dan ayah mertua perempuan tadi akan turut menyertai mereka. Begitu lah kegiatan mereka setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan. Malah ada penduduk kampung menghulurkan juadah untuk berbuka.

Bila Syawal menjelma, kemeriahan Hari Raya tidak dilupakan. Penduduk-penduduk kampung datang bertandang ke Rumah Terbuka keluarga ini. Tiada minuman beralkohol ataupun makanan haram dihidangkan. Penduduk kampung memang sudah faham perkara ini.

Perempuan Johor sudah fasih berbahasa Iban. Di waktu lapang dia mengajar anak-anak Iban di rumah panjang untuk berbahasa Melayu. Sehingga ke hari ini, dia kekal dalam Islam dan kekal sebagai Melayu.

4. Kisah benar dari AsQue Minie: 

Dua orang kakak saya telah memeluk Islam. Seorang daripada mereka sudah kembali ke Rahmatullah, meninggalkan anak-anak dan suaminya. Oleh kerana kami bukan orang Islam, kami telah meminta bantuan pihak masjid untuk menguruskan pengkebumian dan buatkan Tahlil untuk arwah kakak. Pihak masjid segera hulurkan bantuan.

Anak-anak arwah kakak masih kecil dan tekanan kerja bapa mereka pula banyak. Jadi kami lah yang menguruskan persekolahan mereka. Ke kelas agama pun kami hantarkan. Kami dah anggap mereka sebagai sebahagian daripada keluarga kami, walaupun mereka Islam dan kami Kristian.

Anak-anak arwah kakak semuanya dah dewasa hari ini. Anak yang sulung baru sahaja selesai melangsungkan perkahwinannya. Kami lah juga yang menjadi wakil datang merisik. Anak yang kedua masih menuntut dalam bidang perubatan, sementara anak yang bongsu pula masih dalam Tingkatan Lima. Diharapkan semua mereka akan jadi orang yang berjaya, seperti pesanan dan doa emak mereka sebelum dia meninggal dunia.

Seorang lagi kakak saya yang memeluk Islam sudah bermastautin di Melaka. Saya selalu menziarahi kakak di Melaka di musim Hari Raya. Mereka sekeluarga pun ada datang ke Sarawak bila tiba musim Gawai Dayak dan Hari Krismas. Makanan dihidangkan tiada yang haram.

Abang ipar saya, walaupun jenis yang warak, sudah faham dengan keadaan keluarga kami yang bercampur-campur. Bila dia hendak bersembahyang di masjid, seorang lagi kakak saya yang bukan Islam akan hantarkan. Bila abang ipar bersembahyang di rumah, kanak-kanak dilarang berbuat bising. Walaupun mereka masih kecil tetapi mereka semua faham bila kita tegur mereka.

Di hari Ahad, ahli keluarga kami yang beragama Kristian akan pergi ke gereja. Balik dari gereja, kami akan makan bersama-sama dengan ahli keluarga kami yang Islam di rumah. Tidak pernah ada isu cuba memesongkan akidah di dalam keluarga kami. Kami sekeluarga hormat pada hak beragama masing-masing. Semua agama itu baik. Semoga kisah keluarga kami boleh menjadi satu inspirasi kepada keluarga lain.

Ulasan

Catatan Popular