Laman media Perhimpunan Agung UMNO 2013 dirasmikan

Laman media Perhimpunan Agung UMNO 2013 dirasmikan

KETUA Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan merasmikan Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. Turut kelihatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Laman media yang menempatkan 2,000 petugas media termasuk pengamal media sosial di Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 dirasmikan hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menggesa pengamal media di Malaysia supaya bekerjasama supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan benar.

"Kalau semua media termasuk media alternatif, media cetak dan media elektronik bersatu, saya kira kita tidak akan salah dalam segala aspek komunikasi dan penerangan itu," katanya dalam ucapannya.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Mereka kemudian melawat ruang-ruang kerja media dan beramah mesra dengan petugas-petugas media.

Ab Rauf dalam ucapannya pula berkata kemudahan laman media yang disediakan untuk tahun keempat itu adalah untuk memberikan keselesaan kepada pengamal media semasa membuat liputan persidangan.

"Kita sentiasa membuat penambahbaikan setiap tahun. Inilah satu-satunya laman media yang terbaik dalam negara kerana kita menyediakan pelbagai kemudahan termasuk internet berkelajuan tinggi supaya dapat menghantar berita dengan cepat dan tepat kepada masyarakat," katanya.

Sambil menyampaikan ucapan penghargaan kepada pengamal media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2013, beliau turut mengalu-alukan cadangan daripada media untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kemudahan laman media kali ini dibahagi kepada dua bahagian iaitu untuk menempatkan petugas media arus perdana dan pengamal media sosial termasuk media antarabangsa yang akan membuat liputan sepanjang perhimpunan itu sehingga 7 Disember.

- BERNAMA

Ulasan

Catatan Popular